Akal Dan Hati


Firman  Allah: "sesungguhnya  tidaklah  menyentuh  Al Quran  itu  melainkan  mereka  yang suci..." Ayat  ini  ditafsir oleh ulama  tasawuf  dengan  maksud  bahawa  ayat-ayat Allah tidak akan  berada  dalam   jiwa   yang  kotor. Bacaan   mereka  hanya  di  lidah,  bukannya  di  hati. Ilmu mereka hanyalah di akal tapi tidak di hati. Tanyalah  diri sendiri, bagaimanakah perasaanmu bila membaca ayat:


"Dan Dia [Allah] bersama kamu di mana kamu berada". [Al Hadid:4]


Kalau  hati  kamu  keras  dan  tidak  merasa  apa-apa, ayat  di atas  hanyalah  sekadar  suatu maklumat  pada  akalmu  sahaja. Dan  apabila hal ketuhanan berada pada akal, ia akan hilang apabila   kamu  berfikir  pada   perkara  yang  lain  pula. Tetapi  jika  hatimu  bersih,  ayat  ini dapat  dirasai  dan  dilihat  dengan  pandangan  cahaya  hati  sehingga  merasai kebersamaan dengan Allah di mana saja berada...seterusnya baca di sini..



Otak
                                              
     Menceburi dunia makrifat manusia tidak akan terlepas daripada menyebut menggunakan perkataan mahupun percakapan untuk disampaikan pada orang yang mendengar bagi tujuan memahaminya. Segala percakapan serta pertuturan tersebut merupakan gambaran tentang Zat Empunya Diri [Allah]. Mungkin tanpa kita sedari bahawa setiap gambaran yang lahir melalui pertuturan tersebut adalah merupakan sifat, di mana keseluruhan percakapan merupakan sifat itu sebenarnya tidak sampai pada hakikat Zat Empunya Diri yang sebenar.   
Hati Manusia
          Begitulah keadaannya berlaku dalam petikan artikel di atas, di mana dua perkataan 'akal' dan 'hati' membuat manusia jadi keliru. Kekeliruan ini terjadi disebabkan perkataan hati mempunyai maksud bertindih. Dalam satu masa perkataan hati merujuk maksudnya seketul daging yang terdapat dalam tubuh manusia. Begitu jua perkataan akal ada kala dijuruskan maksudnya otak yang berada dalam tempurung kepala. Oleh kerana dua perkataan ini secara tidak langsung mewakili maksud bahagian organ dalam tubuh manusia menyebabkan terdapat sesetengah di kalangan kita terperangkap serta terus tertumpu pada dua organ tersebut apabila perkataan-perkataan ini digunakan. 
          Di sudut makrifat setiap manusia mempunyai 'diri', diri manusia terbahagi kepada dua iaitu 'diri zahir' merujuk tubuh kasar dan 'diri batin' merujuk diri yang wujud secara ghaib. Susunan sedemikan menunjukkan kesempurnaan kejadian manusia ciptaan Allah sebagai khalifah di muka bumi, rujuk Quran;     
           

31:20

Tidakkah kamu perhatikan bahawa Allah telah  menundukkan apa yang ada di bumi  untukmu dan menyempurnakan  nikmatNya  untukmu zahir  dan yang batin. Tetapi dalam pada itu, ada di antara manusia yang  membantah tentang  Allah [atas kurniaanNya itu]  dengan tanpa ilmu atau pertunjuk dan kitab yang memberi penerangan [hidayah Allah], Q 31:20 

Justeru, perbahasan di sudut makrifat lebih tertumpu pada diri batin namun demikian diri zahir iaitu 'Jasad' tidak diabaikan. Kerana dua kombinasi diri zahir dan diri batin ini yang membentuk tujuh perkara atau tujuh jalan [سَبْعَ طَرَائِقَ] kejadian manusia sehingga lengkap sempurna, rujuk Quran;   

23:17

Sesungguhnya Kami telah ciptakan ke atas kamu tujuh jalan dan Kami tidaklah lalai terhadap ciptaan Kami, Q 23:17

Mengenai uslub Q 23:17 ini, sebahagian besar ulama mufassirin memberi tafsiran perkataan [ فَوْقَكُمْ ] 'di atas kamu semua', merujuk maksudnya tujuh lapis langit berada di atas kepala manusia. Tiada kaitan dengan kejadian manusia. Walau bagaimana pun itu adalah hak masing-masing dalam soal memutus maksud uslub Quran. Dalam konteks makrifat pencerakinannya lebih tertumpu pada diri iaitu kejadian diri manusia bersesuaian dengan perintah Allah wahyu pertama turun pada Baginda Muhamad ketika baginda berada di Gua Hira'. Di mana sentuhan wahyu tersebut bermula dengan topik kejadian manusia, rujuk Quran;  

96:1
Bacalah dengan [menyebut] nama Tuhanmu yang mencipta, Q 96:1

Tuhan  mencipta  apa?...[mungkin  terpacul  soalan  bagi  akal yang bertanya] sebagai jawapannya..

96:2
[Dia] yang telah menciptakan manusia daripada segumpal darah, Q 96:2


Menunjukkan Baginda Muhamad diperintah oleh Allah supaya memulakan makrifat dengan mencari bagaimanakah manusia bermula. Sebab itu tumpuan golongan muwahid dan juga ahli makrifat lebih menjurus ke arah membincang punca kejadian manusia [mengenal diri]. Setelah kewafatan baginda ilmu makrifat terus berkembang walau tidak sehebat ilmu syari'at. Serentak itu ianya turut melahirkan kecelaruan istilah-istilah perkataan dan juga aliran kelompok ajaran berbeza dalam lingkungan dunia makrifat. 
          Oleh kerana makrifat bukan perkara mudah bersifat mistik maka tidak semua mereka yang menceburinya berjaya sampai pada sasaran sebenar [binasa diri yang zahir]. Apatah lagi tabi'at manusia hanya mampu membuat penilaian terhadap perkara-perkara zahir berunsur sifat sahaja [pencerapan melalui empat pecahan inderia]. Sebab perkara sedemikian dapat dilihat melalui penglihatan mata kasar jika  dibandingkan perkara berkaitan mistik dan ghaib. sepertimana penjelasan Quran;   

30:7
Mereka  mengetahui perkara yang zahir [tampak] dari kehidupan dunia, sedangkan terhadap [kehidupan] akhirat mereka lalai, Q 30:7

Berdasarkan keterangan Quran binaan manusia terdiri daripada tujuh perkara atau tujuh jalan. Kegagalan dalam memahami hakikat diri manusia menyebabkan susunannya tidak menepati seperti diberitakan Quran. Akibatnya muncul perkataan kurang tepat bagi merujuk diri manusia. Seperti perkataan 'akal', 'hati', 'jiwa', 'nurani', 'akal terperi', 'nafs' bahkan mungkin terdapat banyak perkataan lagi tidak sempat disebut di sini. Apabila pecahan perkataan terjadi bererti kekeliruan pun bermula dalam penyusunan lengkap sebagai manusia bergelar khalifah. 
          Antara  contoh  boleh  dibahaskan  di sini  seperti  kenyataan,  "Ilmu mereka hanyalah  di akal  tapi tidak di hati" [petikan artikel di atas], apakah  maksud  perkataan  hati dalam konteks kenyataan ini? Jika perkataan hati dirujuk pada maksud  organ dalaman tubuh manusia, apakah ianya tepat? Hati  bersifat   fizikal dalam  tubuh  badan  sekadar  berperanan sepertimana organ-organ lain  bagi sesebuah binaan jasad manusia. Oleh demikian apakah pengertian  sebenarnya  perkataan  hati  dalam  susunan lengkap diri manusia yang sempurna?
           Perhatikan tiga uslub Quran yang dijadikan contoh di bawah di mana penggunaan lafaz dalam sebutan Arab yang berbeza [ قـلب ], فؤاد ] dan [ نفس ]. Kemudian perkataan-perkataan ini diterjemahkan dalam sebutan Melayu, iaitu 'Qalbu' bermaksud hati, 'Fuad' juga bermaksud hati dan 'Nafs' bermaksud jiwa, rujuk Quran;    
              
8:2
Sesungguhnyaorang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka [kerananya], dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal Q 8:2
17:36
Dan janganlah kamu memutuskan terhadap perkara yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipersoalkan [dipertanggungjawabkan], Q 17:36




89:27
                                                                  Wahai jiwa yang tenang Q 89:


         Apabila mengambil maksud lafaz perkataan yang berlainan ini dengan pengertiannya turut berbeza menyebabkan susunan diri manusia yang ditajallikan menjadi tidak tepat. Akibatnya fokus berpecah dan hilang arah tidak sampai ke matlamat pemusatan yang sepatutnya. Pecahan-pecahan lafaz perkataan ini sebenarnya dapat disimpulkan pengertiannya pada satu sebutan lafaz sahaja iaitu 'Akal'. Seperti perkataan 'hati', 'jiwa', 'nurani' dan lain pecahan perkataan yang semaksud semuanya merujuk pada gambaran akal yang dapat berfikir dengan sempurna. Jadi, kenyataan "ilmu dan iman mereka tidak di hati" menunjukkan ilmu dan iman itu tidak berada pada akal yang dapat berfikir. Akal perlu menjana terlebih dahulu setiap perkara untuk diterima sebagai satu kebenaran. Oleh sebab itu Quran sering memberi penekanan dalam perkara tesebut, iaitu menyuruh manusia menjanakan akal [berfikir dengan sempurna] terhadap apa yang diterima. Sebagaimana dapat dilihat melalui dua keterangan firmanNya di bawah; 
30:8

Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang [kejadian] diri mereka? Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya melainkan dengan [tujuan] yang benar dan dalam waktu yang ditentukan. Dan sesungguhnya banyak di antara manusia benar-benar mengingkari pertemuan dengan Tuhannya, Q 30:8 

8:22

Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk di sisi Allah ialah mereka yang tuli dan bisu [tidak mendengar dan memahami kebenaran] iaitu orang yang tidak mahu menggunakan akal, Q 8:22

      Dengan menggunakan pendekatan berfikir secara lurus dan betul kemudian akal pun menerima sesuatu perkara itu sebagai suatu kebenaran yang tidak boleh dinafikan dan diterima menjadi pegangan. Kemudian akal berpindah berfikir pada topik lain tidak bermakna apa yang diterima sebagai kebenaran sebelum ini sudah hilang atau ternafi. Semua itu tersimpan dalam memori akal yang dapat berfikir atau disebut 'hati', di mana pecahan perkataan-perkataan seperti hati, jiwa, nurani pada dasarnya adalah akal. Iaitu salah satu daripada tujuh perkara gabungan diri manusia yang dizahirkan, dan lafaz-lafaz tersebut bukanlah sesuatu yang asing terpisah daripada akal.  





0 comments:

Catat Ulasan