Nur Muhamad








Tuhan mentajallikan cahayaNya. Cahaya Tuhan itu bernama Nur. Jadi, Nur itu cahaya Tuhan. Itulah rahsia Tuhan. Rahsia Tuhan itulah juga dinamakan Muhammad yang awal dan Nur Muhammad itu juga dinamai titik Nur yang awal. Nur Muhammad sudah 'lahir', baru bersuara. Inilah suara Allah langsung pada Muhammad..... untuk bacaan selanjutnya klik di sini..

Kitab Quran
Apabila seseorang menempuh alam makrifat akan ditemuinya berbagai ragam bentuk amalan, pengajian mahu pun pembelajaran yang diajar oleh guru yang dianggap mursyid. Terdapat sesetengahnya pula menggunakan pendekatan melalui pembacaan dari kitab-kitab hasil peninggalan ulama makrifat terdahulu. Sama ada benar atau tidak apa yang dibaca dan diterima serta diamalkan itu langsung tidak diambil peduli. Apatah lagi kekuatan dan keupayaan seseorang untuk membandingkan amalan serta pengajian yang menjadi pegangan selama ini dengan panduan yang terdapat dalam Al Quran begitu lemah.

Barangkali terdapat di antaranya menganggap bahawa Al Quran itu hanya sebuah kitab tua peninggalan Baginda Muhamad sebagai bukti kenabiannya sahaja. Oleh itu tumpuan lebih dititikberatkan pada kitab-kitab karangan ulama makrifat begitu jua bergantung penuh pada guru mursyid dalam usaha untuk mengenal diri, sebaliknya Kitab Al Quran menjadi terabai bahkan mungkin tidak perlu dikenali. Jarang benar didapati di kalangan murid yang bertanya "Bagaimanakah Kitab Al Quran itu sampai kepada nabi Muhamad kemudian zahir dan berada di alam dunia ini?". Soalan begini begitu sukar untuk hidup di kalangan murid disebabkan ianya menjurus ke arah untuk mengenali Kitab Al Quran, sedangkan yang dicari untuk dikenali bukan Quran tetapi diri untuk dikenali. Selama tempoh penglibatan dalam dunia makrifat si murid tidak didedahkan oleh guru mahupun melalui kitab makrifat yang dibaca apakah maksud sebenarnya Kitab Al Quran yang dikenali sebagai Kalam Allah. Apa signifikannya Quran dijadikan perbandingan serta panduan dalam penerokaan alam makrifat.

Kegagalan memahami serta mengenali Kitab Quran menyebabkan seseorang yang berkecimpung di alam makrifat terperangkap dengan berbagai ragam amalan serta pengajian yang bersumberkan bukan daripada Hak atau tidak menepati kebenaran yang sedia terpapar melalui Kitab Quran. Akibatnya setiap amalan dan pengajian yang diterima itu sering berada pada situasi perselisihan dengan apa yang ditunjuk oleh Baginda Muhamad bersama Kitab Quran. 

Sebagai nabi baginda tetap memperlihatkan sikap tanggungjawabnya dengan meninggalkan sebuah hadis yang merupakan jaminan terhadap umat manusia supaya perjalanan makrifat mereka sentiasa berada atas dua landasan yang ditinggalkan setelah ketiadaan baginda; 
                        
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ.

Dari Abu Hurairah ra, dari Nabi saw bahawa Baginda bersabda: "Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepda keduanya, iaitu Kitab Allah dan sunnah nabiNya".

[Hadis riwayat Imam Malik]

Dua perkara tersebut biasanya dikenali sebagai Quran dan hadis. Quran merujuk maksudnya 'Kitab Allah' sementara hadis pula merujuk pada sesuatu yang lahir daripada percakapan, perbuatan dan pengakuan seseorang nabi yang diutuskan sama ada baginda sendiri mahupun nabi-nabi sebelumnya. Oleh sebab itu setiap peristiwa melibatkan percakapan dan perbuatan nabi-nabi terdahulu dinaqalkan dalam Kitab Quran demi sebagai panduan buat manusia yang datang kemudian. Bahkan perkara ini ditegaskan melalui Kitab Allah sendiri [Al Quran] sebagaimana firmanNya;                         

لَقَدْ كَانَ فِيْ قَصَصِهِمْ عِبْرِةٌ لِّاُولِى الْاَالْبَابِ مَاكَانَ حَدِيْثًا يُّفْتَرَى وَلَاكِنْ تَصْدِيْقَ الَّذِيْ بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيْلَ كُلِّ شَيْءٍ وَّهُدًى وَّرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُّؤْمِنُوْنَ
          
Sesungguhnya dalam kisah-kisah para rasul itu ada pelajaran bagi orang yang berakal. Tidaklah Al Quran [yang menceritakan kisah-kisah itu]  hal yang dibuat-buat, tetapi [Al Quran] membenarkan kitab-kitab yang turun sebelumnya dan memberikan penjelasan sesuatu, menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, Q 12:111                

لَقَدْ كَانَ فِيْ يُوْسُفَ وِاِخْوَتِهِ آيَاتٌ لِّلسَّآئِلِيْنَ

Sungguh, dalam [kisah]  Yusuf dan saudara-saudaranya terdapat tanda-tanda [kekuasaan Allah] bagi orang yang bertanya, Q 12:7

Malangnya sebahagian besar di kalangan peneroka makrifat bagaikan mengenteng-entengkan wasiat yang ditinggalkan baginda tersebut. Antara contoh dapat direnungkan di sini sebagaimana petikan di atas mengenai Nur Muhamad, lihatlah kaedah Syaikh Siradj cuba menggarapkan usul kejadian manusia [merujuk pada nabi Muhamad] yang mana kemungkinan diterima daripada guru yang membawa ajaran tersebut pada sebelumnya. 

Dalam sebuah kitab Quran tidak ada satu pun keterangan yang dapat dijustifikasikan perkara berkaitan Nur Muhamad, bahkan surah ke 47 dinamakan Surah Muhamad juga tiada keterangan yang boleh dihubungkaitkan dengan perkara tersebut. Sekiranya perkara berkaitan Nur Muhamad ini menjadi satu kemestian maka sudah tentu perkara ini dinobatkan oleh Baginda Muhamad sendiri melalui syari'at yang ditunjuk oleh baginda, paling tidak ianya menjadi rukun atau asas dalam makrifat dan juga diamalkan pada perbuatan syari'at. Seperti bertayammum di mana perbuatan tersebut menunjukkan manusia itu daripada tanah [merujuk pada zuriat Adam sahaja] iaitu berbalik pada usul kejadian manusia [jasad/tubuh kasar]. 

Al Quran memulakan pemberitaan tentang awal kejadian manusia langsung tidak menyentuh perkara Nur Muhamad ini, jika dicermati tiada satu sebutan pun menunjukkan terdapat perkara Nur Muhamad pada uslubnya, rujuk Quran;


وَاِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ اِنِّيْ جَاعِلٌ فِى الْاَرِضِ خَلِيْفَةً قَالُوْا اَتَجْعَلُ فِيْهَا مَنْ يُّفْسِدُ فِيْهَا وَيَفْسِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ اِنِّيْ اَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُوْنَ

Dan [ingatlah wahai Muhamad] ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi”. Mereka [para malikat] berkata, “Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merusak dan menumpah darah di sana, sedangkan kami bertasbih, memujiMu dan menyucikan namaMu?” Lalu Allah berfirman, “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”. Q 2:30

Situasi pemberitaan ini menunjukkan keadaan ghaib iaitu belum ada perkara yang berbentuk sifat, atau lebih sempurna disebut berada pada diri yang satu atau berada pada Ilmullah [ مِّنْ نَّفْسٍ وَّاحِدَةٍ Q 4:1]. Berada pada diri yang satu atau pada Ilmullah bermaksud hanya semata-mata wujud Nurullah [cahaya Allah] yang belum berpecah berasingan sehingga boleh dihitung seperti Nur Allah dan Nur Muhamad iaitu menjadi dua perkara. Sementara Nur Allah tersebut bukan sepertimana cahaya yang terdapat di alam zahir ini,contoh cahaya mentari atau cahaya yang terbit daripada lampu. Perkataan malaikat pula pada uslub ini merujuk maksudnya gerak [af'alullah] sewaktu keadaan ghaib. Tiada dialog percakapan yang wujud ketika ini, antara Allah dan malaikat melainkan hanya semata-mata gerak cahaya Allah. Oleh kerana perkara ini diberitakan pada manusia melalui wahyu kepada nabi maka wujudlah ungkapan seolah-olah Allah dan malaikat berdialog, hakikatnya keseluruhan pemberitaan ini Esa pada af'al Nurullah yang belum berpecah membentuk sebarang sifat. 

Prinsip pegangan kebanyakan golongan makrifat bahawa terdapat di antara perkara yang menjadi rahsia Allah atau rahsia Tuhan. Kenyataannya, tiada rahsia di sisi Tuhan [Allah] sebaliknya rahsia itu wujud sesama manusia sahaja sebab manusia berkedudukan martabat akal. Manusialah sebenarnya mangatakan bahawa rahsia Tuhan di mana iqtkad begini muncul dari hasil sangkaan akal jahil iaitu kenyataan tidak bersumberkan Hak. Kenyataan begini muncul daripada golongan yang tidak sampai ke tahap makrifat sebenar, seandainya golongan ini benar-benar sampai ke kemuncak makrifat bererti kenyataan "rahsia Tuhan' tidak sempat lahir dari mulut mereka bahkan musnah sebelum mereka keluarkan kenyataan sedemikian, rujuk Quran;     

وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ اِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوْقَ

Dan katakanlah [wahai Muhamad], “Apabila kebenaran [Hak]  telah datang dan yang batil [salah] telah leyap”, bahawasa, yang batil itu pasti hilang lenyap, Q 17:81

Oleh itu sejauh manakah golongan yang  berprinsip  bahawa  terdapat  'rahsia Tuhan' berkemampuan  berada  pada maksud  uslub  Q 17:81  ini?  Begitu  jua seluas manakah golongan ini  mengambil pengertian Hak iaitu 'kebenaran' dan juga 'kebatilan' dari sudut makrifat? 


Sekiranya Allah bersifat rahsia bererti Alam dunia ini tidak akan tercipta, bahkan dunia ini tercipta bukan disebabkan Nur Muhamad atau Muhamad. Apabila terciptanya alam dunia menunjukkan bahawa Allah itu tidak berahsia. Tercipta alam dunia ini berdasarkan Kuasa Mutlak Allah yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana kuasa yang mampu membataskan Kemutlakan Kekuasaan  Allah tersebut, rujuk Quran; 
......وَلَا يُشْرِكُ فِيْ حُكْمِهِ اَحَدًا  
….dan Dia tidak mengambil seorang pun menjadi sekutuNya dalam menetapkan keputusan, Q 18:26 


Allah berahsia atau pun  rahsia  Tuhan  [Allah]  menunjukkan  yang  Allah  itu bersifat  lemah, sedangkan  Allah  itu  bersifat  dengan  Maha Mencipta, Maha Ilmu.  Manusia   diperintah  supaya   berlaku  adil   dalam   memperkatan  hal berkaitan dengan Allah, rujuk Quran;

يَااَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا كُوْنُوْا قَوَّامِيْنَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلهِ وَلَوْ عَلَى اَنْفُسِكُمْ....
Wahai orang yang beriman!, Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi [yang menerangkan kebenaran] kerana Allah, sekali pun terhadap diri kamu sendiri….Q 4:135

Oleh itu apakah adil Zat yang memiliki Maha Sempurna lagi Fathir mempunyai rahsia? Jika demikian keseluruhan golongan anbia yang diutuskan Allah di muka bumi ini sering berada dalam keadaan durhaka kepada Allah, apa tidaknya sebab golongan anbia ini kerjanya membuka rahsia Allah, rujuk Quran;     

  وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ الْاَقَاوِيْلِ , لَاَخَذْنَا مِنْهُ الْيَمِيْنِ, ثُمَّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ الْوَتِيْنَ     

Dan sekiranya dia [Muhamad] mengadakan [menurut pendapatnya] sebahagian perkataan atas [nama] Kami, pasti Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami, kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya [supaya ia mati dengan serta merta], Q 69:44-46



يَااَيُّهَا الرَّسُوْلُ بَلِّغْ مَا اُنْزِلَ اِلَيْكَ مِنْ رَّبِّكَ وَاِنْ لَّمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُ......  

Wahai rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu, dan jika engkau tidak melakukannya [dengan menyampaikan semuanya], maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusannNya…….Q 5:67

فَاصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَاَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِيْنَ

Oleh itu, sampaikanlah secara berterus terang apa yang diperintahkan kepadamu [wahai Muhamad], dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu, Q 15:94


Jelas bahawa setiap nabi yang diutuskan tiada seorang pun cuba merahsiakan perkara berkaitan dengan Allah. Berpandu pada perlakuan nabi-nabi ini menunjukkan tiada rahsia Tuhan di sisi Allah. Bahkan para anbia tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa 'Nur Allah itu rahsia Tuhan'. 

Allah itu Maha Adil, keadilan Allah meliputi setiap ciptaanNya termasuklah kejadian manusia secara amnya. Tiada seorang pun yang terkecuali daripada sifat adil Allah tersebut. Jika Muhamad memiliki nurnya lalu nabi-nabi lain juga memiliki nur masing-masing sepertimana Muhamad. Didapati begitu jarang pendukung makrifat membicarakan nur nabi-nabi lain selain nur Muhamad, nur nabi Idris, nur nabi Nuh, nur nabi Shuib, nur nabi Yakob, nur nabi Musa, nur nabi Isa dan lain-lain lagi, bila waktukah nur mereka ini berperanan sepertimana nur Muhamad? Tiada sentuhan langsung terhadap nur nabi-nabi lainya, hal ini menunjukkan pembicaraan golongan ini terhindar daripada unsur-unsur keadilan dalam pembicaraan mereka. Sedangkan barisan nama-nama nabi ini terpahat dalam Quran dan Baginda Muhamad sendiri menyebut keseluruhan nama-nama nabi ini. Golongan anbia terdiri daripada kalangan manusia [bani Adam] maka keseluruhan manusia memiliki nur masing-masing. Menyedihkan orang yang bertanggungjawab membawa ajaran Nur Muhamad ini tidak pernah membicarakan nurnya sendiri, rujuk Quran;
  
قُلْ اِنَّمَا اَنَاْ بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوْحَى اِلَيَّ اَنَّمَا اِلَهُكُمْ اِلَهُ وَّاحِدٌ.......

Katakanlah [wahai Muhamad], “Aku ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu adalah Tuhan yang Maha Esa…….Q 41:6

Bersikap adil dalam memperkatakan sesuatu tentang Allah adalah merupakan tuntutan yang perlu ditunaikan oleh setiap manusia yang menerima Allah sebagai Tuhannya.  




4 ulasan:

  1. SALAM.
    MAAF, TULISAN QURAN ITU PANDUAN YG SENTIASA BERGERAK MENGGANGGU TUMPUAN PEMBACAAN

    BalasPadam
  2. Salam..
    Penulisan di atas ini langsung tiada kena mengena tentang makrifat. .malahan pergertian tntng apa itu Nur Muhammad juga tidak difahami langsung.. Nur Muhammad bukan Muhammad yg wafat itu.sebab itu ramai yg keliru maksud nya.. makrifat ialah perkara tersirat bukan tersurat seperti syariat..mohon padam sahaja penulisan di atas ini jika tidak faham apa itu makrifat San apa itu Nur Muhammad. .

    BalasPadam
  3. Penulis tidak mengkaji ilmu makrifat hakikat thorikat....hanye ahli ilmu syariat....syariat thorikat hakikat dan makrifat adalah ilmu jalan kpd Allah...ilmu2 ini tidak boleh dipisahkan....ilmu hakikat dan makrifat banyak merujuk kepada hadis dan quran...syariat ilmu zahir manakala hakikat dan makrifat ilmu bathin...ahli2 syariat iaitu fekah dan tauhid yang pakar hanye capai ulamak tetapi ahli2 hajekat makrifat capai makam wali....tarekat hakikat dan makrifat terkandong dalam bidang tasawuf yg berada dalam ihsan sepertimana jawapan nabi kepada pertanyaan Jibrail




    BalasPadam
  4. Tak mahu anbik tahu.. Tentg mkrifat ada mata.. Buta. Ada telunga tuli. Ada hati mati. Tp jasad hidup diberi makanan lazat.. Bab makrifat xde pun untuk jalan pulangnya..

    BalasPadam