Akal dan Jin




Akal merupakan suatu kejadian yang disertakan dengan kejahilan, semuga tiada sesiapa yang tersalah erti mengambil maksudnya. Sebab perkataan 'jahil' atau 'kejahilan' agak sensitif, apatah lagi jika  perkataan tersebut dilontarkan pada seseorang boleh mengundang rasa tersinggung hatta sampai ke peringkat berlaku permusuhan antara dua insan. 

Jahil adalah perkataan Arab telah diterima pakai dalam linggua franca Melayu di mana memberi maksud tidak mengetahui, ‘jahil Murakkab’ bermaksud orang yang tidak mengetahui dan tidak pula menyedari kejahilan dirinya. Perkataan jahil ini sering diguna oleh masyarakat kita mengikut keperluan tertentu hingga menyebabkan maksudnya menjadi tidak selari iaitu bergantung pada intonasi ayat pertuturan ketika berkomunikasi.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘kejahilan’ ialah setiap kejadian akal akan didapati bersama-samanya jahil. Tidak terkecuali asal saja tercipta akal maka jahil tetap wujud di sisi akal selama akal berada pada manusia. Dengan bahasa mudah bahawa akal tidak akan tercipta jika tidak didahului dengan kejadian jahil bagi mengiringi kewujudan akal untuk melengkapi salah satu daripada tujuh perkara gabungan diri manusia yang ditajallikan [ سبع طرائق ]. Contoh dalam perkara ini, disebabkan kejahilan maka akal tidak mampu menerjah atau membuat rumusan terhadap perkara yang belum berlaku. Hal ini menunjukkan keterbatasan akal yang tercipta atau kekadaran ciptaan Allah [limited]. Ketetapan Allah ini menepati keseluruhan insan bergelar Bani Adam termasuk akal barisan anbia, rujuk Quran;


7:188
Katakanlah [wahai Muhamad], “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat maupun menolak mudharat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah, sekiranya aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib [perkara yang akan berlaku] tentulah aku mengumpulkan dengan banyaknya perkara-perkara yang mendatangkan faedah [pasti] aku tidak ditimpa kesusahan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman", Q 7:188

6:50
Katakanlah [wahai Muhamad], “Aku tidak mengatakan kepada kamu [kepada orang yang menentang seruan kebenaran] bahawa perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara ghaib, aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawa aku ini malaikat, aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku”. Katakan lagi, "Apakah sama orang buta dengan orang celik?", maka apakah kamu tidak memikirkannya?, Q 6:50

11:31
“Dan aku [Nuh] tidak berkata kepada kamu; di sisiku ada perbendaharaan Allah, dan tidaklah aku mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan aku tidak mengatakan bahawa aku ini malaikat dan aku tidak [juga] mengatakan kepada orang yang dipandang hina oleh pandanganmu, "Bahawa Allah tidak akan memberikan kebaikan kepada mereka. Sesungguh, jika [aku berkata] demikian aku benar-benar termasuk orang yang zalim, Q 11:31

Penjelasan berupa perintah kepada dua orang nabi ini supaya jelaskan pada manusia bahawa mereka juga tidak tahu apa yang akan berlaku menunjukkan setiap akal itu berkeadaan jahil. Kejahilan akal ini akan terubah menjadi mengetahui setelah diberitahu [melalui proses wahyu dalam konteks kenabian/mengenal DIRI bagi umatnya]. Oleh demikian akal akan mengetahui pada topik yang diberitahu sahaja sebaliknya perkara yang tidak diberitahu akal tetap berkeadaan jahil. 

Jahil [ جاهـــــل ] yang sentiasa terlekap dan berada pada akal itu maka Quran membahasakannya dengan gelaran 'JIN' [ الجــن ]. Bermaksud perkataan jin merujuk pada kejahilan yang tercipta pada akal manusia, oleh sebab itu didapati uslub Quran sering menyebut perkataan jin beriringan dengan sebutan manusia [insan] ketika mana menyentuh tentang kejadian manusia begitu jua pada ketika uslub Quran menyentuh pembalasan ke atas manusia. Keadaan ini bagi menggambarkan bahawa bilamana menyebut manusia maka adanya jahil bersama akal yang tercipta itu, atau dua perkara ini tidak dapat dipisahkan pada kejadian akal, rujuk Quran, 

51:56
Aku tidak ciptakan JIN dan MANUSIA melainkan agar mereka beribadah kepadaKu, Q 51: 56

6:112
Dan demikianlah untuk setiap nabi Kami menjadikan musuh , yang terdiri dari syaitan-syaitan MANUSIA dan JIN, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan yang indah sebagai tipuan. Dan kalau Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak akan melakukannya, maka biarkanlah mereka bersama [kebohongan] yang mereka ada-adakan, Q 6:112
11:119
kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat [keputusan] Tuhanmu telah tetap, "Aku [Allah] pasti akan memenuhi neraka Jahannam dengan JIN dan MANUSIA semuanya", Q 11:119

Jin yg merujuk maksudnya kejahilan akal tidak mampu membawa kebenaran pada manusia sebab keadaannya jahil iaitu tidak tahu, dan Baginda Muhamad sendiri tidak pernah mengambil sumber rujukan perkara berkaitan Allah melalui jin yang bermaksud akal jahil, maka didapati usub Quran ternaqal dengan gayanya sebegini, rujuk Quran,

53:3
Dan ia [Muhamad] tidak memperkatakan [sesuatu yang berkaitan dengan Allah] menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri [melalui akal jahil yang disebut jin], Q 53:3

17:88
Katakanlah [wahai Muhamad] , sesungguhnya jika sekelian MANUSIA dan JIN berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya, walaupun mereka saling membantu sesama sendiri, Q 17:88

Tidak mungkin sama sekali jin yang merujuk maksudnya akal jahil [tidak tahu] mampu mengadakan perkataan-perkataan yang benar seperti Quran. Sebab Kalam Quran yang hak [Kalam Diri] wujud melepasi akal jahil, oleh itu bila Kalam yang hak ini datang pada nabi [disebut wahyu] maka akal jahil digelar jin itu mengalami kemusnahan dalam ertikata binasa akal, barulah Kalam Quran yang dikenali Diri sebenar diri memberitakan pada manusia.

Pastikan bahawa jin bukanlah suatu unsur bersifat metafizik yang wujud secara berasingan dengan kejadian manusia, tetapi ianya adalah sebagai gelaran menurut bahasa Quran yang merujuk maksudnya kejahilan akal dalam memperkatakan sesuatu perkara belum berlaku, begitu jua akal jahil atau disebut 'jin' tidak mampu menyelami hakikat ghaib. Jin bukan sekali-kali makhluk halus yang berkuasa menganggu ketenteraman kehidupan manusia secara misteri.

Manusia dilarang supaya jangan jadikan jin sebagai sekutu Allah bermaksud bahawa manusia ditegah daripada mengeluarkan sesuatu kenyataan berkaitan dengan Allah bersumberkan kejahilan akal. Sebab akal jahil [jin] tidak mampu berkata sesuatu tentang Allah. Akal jahil sekadar mampu melahirkan bisikan dan sangkaan terhadap perkara berkaitan Allah sahaja pada manusia. Sekiranya manusia bertindak berkata sesuatu dan melakukan sesuatu perbuatan berpaksikan akal jahil maka perbuatan tersebut digelar syaitan. Oleh demikian jin dan syaitan adalah lahir daripada manusia sendiri, seandainya sesiapa ingin memusuhi jin dan syaitan maka hindarkanlah daripada perbuatan mengambil sumber daripada akal jahil, rujuk Quran;

17:53
Dan katakanlah [wahai Muhamad] kepada hamba-hambaKu, "Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik [perkataan benar-benar datang daripada Hak], sesungguh, syaitan itu [sekadar] menimbulkan perselisihan di antara mereka,Sesungguh syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia, Q 17:53   

6:100
Dan mereka [orang-orang musyrik] menjadikan jin itu sekutu-sekutu Allah, pada hal Dia yang menciptakannya [jin-jin itu], dan mereka berbohong [dengan mengatakan], "Allah mempunyai anak lelaki dan anak perempuan",  tanpa pengetahuan . Mahasuci  dan Mahatinggi dari sifat-sifat yang mereka gambarkan, Q 6:100





1 ulasan:

  1. The Best 8 Casinos Near Portland, ME - MapYRO
    The Best 8 Casinos Near 나주 출장샵 Portland 전주 출장샵 · Casino at Harrah's · Bar Harbor Casino 원주 출장안마 Resort · Harrah's Hotel 구미 출장마사지 & Casino · Harrah's Resort Southern 사천 출장샵 Oregon · Hard Rock Casino

    BalasPadam