Soalan-Soalan Yang Sukar II


Persoalan sepenuhnya di sini....



3. APAKAH ILMU YANG TELAH KITA KUASAI SELAMA INI, TELAH MEMBERIKAN KITA KEUPAYAAN UNTUK MEMBEZAKAN ANTARA PERKARA-PERKARA YANG HAK DAN BATIL?


Lazimnya ilmu yang masuk dan bertempat pada akal dengan berbagai cara, antaranya melalui pembelajaran di antara guru dan murid, melalui pengalaman yang pernah ditempuhi dan melalui pengamatan pada perjalanan alam [sunnatullah]. Sementara akal yang menerima masuk setiap ilmu mesti dalam keadaan bersedia iaitu bermula dengan tuntutan. Sebaliknya jika tiada tuntutan yang lahir dalam diri seseorang bererti tiada ruang untuk ilmu memasuki dan bertempat di akal. 

Setiap akal menerima masuk ilmu pengetahuan hanya melalui empat jalan sahaja, iaitu;

1. Melalui penglihatan.
2. Melalui pendengaran.
3. Melalui deria rasa.
4. Melalui deria bau.

Empat perkara ini merupakan pecahan daripada akal, di mana akal hanya dapat berfungsi dengan mencerap sesuatu melalui empat perkara [empat jalan] tersebut dan tiada jalan lain lagi. Sekiranya akal tidak memiliki empat perkara ini bererti akal tesebut tidak akan wujud, apatah lagi untuk berfikir dan merancang sesuatu begitu jua dalam menerima ilmu. Sekurang-kurangnya satu daripada empat perkara itu perlu ada pada akal untuk melaksanakan peranannya sebagai akal.
 
Sepertimana dijelaskan sebelum ini bahawa ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu berkaitan dengan zahir [dunia] dan ilmu berkaitan dengan akhirat [batin/ghaib]. Sekiranya seseorang itu menguasai ilmu berkaitan dengan perkara dunia maka ilmu ini bergantung penuh pada perlaksanaannya bagi menentukan sama ada hak atau batil. Seandainya sesuatu bidang ilmu keduniaan yang dikuasai apabila dipraktikkan di mana akhirnya menampakkan bibit kejayaan dan diterima oleh akal yang sempurna menunjukkan ilmu tersebut berada pada landasan betul [hak], begitulah keadaan di sebaliknya.   

Menjadi satu kesilapan sekiranya pendekatan untuk menentukan sama ada hak [betul] atau batil [salah] ilmu dunia turut diguna pakai pada ilmu berkaitan dengan perkara batin atau ghaib [akhirat]. Kerana kewujudan ilmu akhirat tidak sama dengan ilmu dunia. Keadaan ini disebabkan kewujudan ghaib itu melepasi empat cerapan yang dimiliki oleh akal. Semantara akal pula hanya sekadar mampu untuk mencerap terhadap perkara-perkara yang bersifat zahir atau perkara berkaitan ilmu dunia sahaja [sifat].

Ilmu akhirat atau pengetahuan tentang Allah yang berstatus ghaib, di mana ilmu ini dimulakan dengan mengenal iaitu mengenal diri sehinggalah ke peringkat mengenal Allah, sebenarnya berada dalam keadaan tidak dapat diputuskan oleh akal sama ada hak mahupun batil. Pengetahuan tentang Allah pada mulanya tertitip masuk dalam akal yang diistilahkan sebagai ilmu tidak berkeupayaan untuk membeza antara batil dan hak. Oleh kerana itu setiap akal yang memiliki ilmu tentang Allah perlu mendapat pengesahan daripada ghaib. Pengesahan tersebut dikenali sebagai hadayah daripada Allah, atau pun boleh dirumuskan sebagai bukti ghaib yang diberikan ke atas seseorang yang memiliki ilmu tentang Allah. Setelah mendapat pengesahan daripada ghaib maka barulah seseorang itu berkeupayaan membezakan antara perkara-perkara hak dan batil melalui ilmu yang disahkan itu. Sekiranya seseorang itu tidak memperolehi pengesahan dari ghaib [tidak dapat hidayah Allah] bererti tiada keupayaan untuk membezakan dua perkara tersebut. Quran telah menjelaskan pada manusia mengenai perkara ini dengan gayanya sebegini;  

16:2
Dia menurunkan para Malaikat membawa [berita ghaib] dengan perintahNya kepada sesiapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hambaNya, iaitu peringatkanlah, bahawa tiada Tuhan selain Aku, maka hendaklah kamu bertaqwa kepadaKu, Q 16:2

12:3
Kami memberitakan kepadamu [wahai Muhamad] kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al Quran ini kepadamu, dan sesungguhnya engkau sebelum itu termasuk orang yang tidak mengetahui, Q 12:3
13:19
Maka adakah orang yang mengetahui bahawa apa yang diturunkan Tuhan kepadamu [wahai Muhamad] adalah kebenaran, sama dengan orang yang buta? Hanya orang yang berakal saja yang dapat mengambil pelajaran [pengertiannya] Q 13:19 

Q 12:3 menunjukkan Muhamad juga sebelum diberi wahyu berkeadaan tidak mengetahui apa itu Quran/kitab Allah, setelah diberitahu [pengesahan/bukti dari ghaib] maka ketahuilah baginda, lantas memberi daya kekuatan kepada  baginda membezakan antara hak dan batil. Q 16:2 menunjukkan pembukaan ghaib [pengesahan / bukti ghaib] diberikan kepada sesiapa yang melakukan tuntutan bagi mendapatkannya. Q 13:19 menunjukkan orang yang diberitahu berkenaan bukti ghaib yang diberikan pada Muhamad tidak sama dengan orang yang tidak tidak tahu apa itu hakikat ghaib.  





4. ADAKAH KEMUNGKINAN BAHAWA SEGALA ILMU YANG TELAH KITA KUASAI SELAMA INI ADALAH PALSU DAN HANYALAH REKAAN SEMATA-MATA?  


Pakaian Mempengaruhi
Kemungkinan ada yang beranggapan jika seseorang itu telah menguasai mana-mana ilmu berkaitan mengenal diri serta berjaya mengamalkannya sepertimana diasaskan melalui sesuatu ajaran, maka orang tersebut terus dianggap telah memiliki makrifat atau telah dianggap berjaya dalam penerokaannya di bidang ilmu kenal diri. Bahkan mungkin orang tersebut dianggap beriman pada Allah dan rasulNya, lalu mereka ini termasuk dalam kategori wali Allah serta memiliki ilmu, keistimewaan dan karomah-karomah tertentu. 

Budaya hidup yang membentuk pegangan begini terbina hasil daripada akal jahil dalam membuat rumusan terhadap perkara tersebut. Akal jahil cuba memutus terhadap apa yang didengar dan dilihat berdasarkan nilaian pada perkara zahir sahaja. Fokus nilaian tertumpu pada keterampilan seseorang seperti berkelakuan serta berpakaian ganjil dan pelik begitu jua pada percakapan songsang yang muncul dari orang dianggap memiliki ilmu makrifat. Nilai kepercayaan begitu tinggi diletakkan pada golongan ini. Kebergantungan melalui kaedah ini dalam memutus seseorang itu benar-benar muqarrabin [guru mursyid] akan menyebabkan tercipta sangkaan dalam diri kita. Dengan terciptanya sangkaan ini menyebabkan kita terjebak dan terpesung dari landasan yang sebenar, di mana sangkaan tidak pernah menjanjikan kebenaran pada manusia, sebagaimana penjelasan Quran;   

53:28
Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah menurut sangkaan semata-mata, pada hal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran, Q 53:28

Hanya berbekalkan sangkaan seseorang itu mula mengumpulkan maklumat berkaitan dengan ilmu mengenal diri dari orang yang dianggap guru mursyid, sementara guru tersebut pula terhasil daripada kitaran sangkaan juga, bererti ilmu yang kita kuasai itu adalah semata-mata palsu dan rekaan sahaja. Kebenaran atau hak yang dikenali sebagai 'Diri Sebenar Diri' tidak pernah wujud dalam situasi begini. 

Sebab itu manusia perlu pada Quran, di mana Quran berperanan membimbing manusia supaya menghampiri pada kebenaran yang benar-benar hak. Manusia tiada pilihan lagi, tiada jalan lain lagi melainkan perlu kembali merujuk keterangan Quran dengan membuat perbandingan di mana ilmu yang terkumpul selama ini sama ada palsu mahupun tidak. Sebab ilmu-ilmu  yang  kita kumpulkan itu keseluruhannya muncul setelah didahului oleh Quran, iaitu kemunculan sesuatu ilmu makrifat, tarikat atau sebagainya adalah berpaksikan kekuatan kefahaman orang yang mengasaskan sesuatu ajaran terhadap Quran. Bagi menunjukkan betapa perkara ini dititikberatkan ke atas manusia maka baginda rasul meninggalkan sebuah hadis buat renungan; 
                       

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ. 
Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: "Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah nabiNya,".
[riwayat Imam Malik]





0 comments:

Catat Ulasan